Aktiviti 13 : Tugasan 4 : Mini Kajian Tindakan

Friday, December 4, 2009

Berdasarkan kursus psikologi pendidikan/ kaedah mengajar/ pentaksiran pembelajaran :
Apakah teori-teori, strategi, kaedah yang boleh diguna/diadaptasi bagi setiap masalah?

1. TEORI BEBAN KOGNITIF

Teori Beban Kognitif mencadangkan bahawa pembelajaran berlaku dengan terbaik dalam keadaan yang setaraf dengan reka bentuk kognitif individu. Menurut Sweller et al., (1988), kajian yang dihasilkan oleh George Miller menunjukkan bahawa ingatan jangka pendek mengehadkan bilangan elemen yang boleh ditafsir oleh seseorang individu. Oleh itu, Sweller telah membina teori ini dengan menggunakan skema atau gabungan beberapa elemen sebagai asas pengetahuan bagi seseorang individu.

Skema merupakan sejenis struktur yang terdiri daripada kandungan ingatan jangka panjang yang berstruktur kompleks. Struktur ini membenarkan kita untuk menerima, memikir dan menyelesaikan masalah. Dengan itu, struktur ini merupakan struktur yang menyumbangkan kepada asas pengetahuan individu (Sweller et al., 1998). Untuk memastikan proses perolehan skema dapat berlaku, arahan yang berkesan perlu direka demi mengurangkan beban peringatan bekerja (Sweller, 1988).



Teori beban kognitif merupakan teori yang membincangkan teknik-teknik dalam mengurangkan beban ingatan jangka pendek dan kemudian membantu dalam perubahan ingatan jangka panjang yang berkaitan dengan proses perolehan skema.
Teori Beban Kognitif adalah sesuai digunakan dalam bidang reka bentuk bahan pembelajaran terarah seperti modul. Teori ini telah banyak diaplikasikan ke dalam mereka bentuk bahan pembelajaran dan berdasarkan teori ini jika beban kognitif yang muncul semasa proses pembelajaran dapat diminimakan maka proses pembelajaran akan lebih berkesan (Sweller et al., 1998).
  • Kesan perhatian terasing (Split-Attention Effect) – keadaan di mana penerangan dalam bentuk teks terasing daripada grafik dan pelajar perlu mentafsirkan kedua-dua sumber untuk memahami maklumat baru.
  • Kesan modaliti (Modality Effect) – penggunaan modaliti visual dan auditori akan dapat meningkatkan keupayaan ingatan jangka pendek untuk mengambil tindakan.
  • Kesan ulangan (Redundancy Effect) – kesan daripada ulangan maklumat yang disembahkan dalam bentuk teks dan grafik. Pelajar dikehendaki mentafsir maklumat yang sama tetapi berlainan jenis dan ini telah menambahkan beban kognitif pada pelajar.
2. PROBLEM BASED LEARNING


PBL merupakan satu proses pembelajaran di mana masalah merupakan pemandu utama ke arah pembelajaran tersebut. Boud dan Tamblyn (1980) mendefinisikan PBL sebagai
...the learning which result from the process of working towards the understanding of, or resolution of, a problem.

Margetson (1991) pula menganggap PBL sebagai konsep pengetahuan, pemahaman dan pendidikan secara mendalam berbeza daripada kebanyakan konsep yang terletak di bawah pembelajaran berasaskan mata pelajaran.

Kelebihan pendekatan PBL ini:
  • Pelajar akan bekerja secara koperatif dalam kumpulan untuk menyelesaikan masalah sebenar dan yang paling penting membina kemahiran untuk menjadi pelajar yang boleh belajar secara kendiri (Hamizer, Baharuddin & Mohamad, 2003).
  • Pelajar akan membina kebolehan berfikir secara kritis secara berterusan berkaitan dengan idea yang dihasilkan serta apa yang akan dilakukan dengan maklumat yang diterima. (Gallagher, 1997)
Di dalam melaksanakan proses pembelajaran PBL ini, Bridges (1992) dan Charlin (1998) telah menggariskan beberapa ciri-ciri utama yang perlu ada di dalamnya seperti berikut:

  •  Pembelajaran berpusat atau bermula dengan masalah.
  •  Masalah yang digunakan merupakan masalah dunia sebenar yang mungkin akan dihadapi oleh pelajar dalam kerjaya profesional mereka di masa hadapan ( Ill Structured Problem)
  • Pengetahuan yang diharapkan dicapai oleh pelajar semasa proses pembelajaran disusun berdasarkan     masalah dan bukannya disiplin.
  • Para pelajar adalah bertanggungjawab terhadap proses pembelajaran mereka sendiri.
  • Pelajar akan bersifat aktif dengan pemprosesan maklumat.
  • Pengetahuan sedia ada akan diaktifkan serta menyokong kepada pembangunan pengetahuan yang baru.
  • Pengetahuan akan diperolehi dalam konteks yang bermakna.
  • Pelajar berpeluang untuk meningkatkan serta mengorganisasikan pengetahuan.
  • Kebanyakan pembelajaran berlaku dalam kumpulan kecil berbanding menerusi kaedah perkuliahan.
Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa penggunaan proses pembelajaran menggunakan kaedah PBL dpat memberikan hasil yang cukup memberangsangkan. Kajian oleh Cawley (1988) terhadap pelajar-pelajarnya dalam bidang kejuruteraan mekanikal mendapati bilangan pelajar yang ingin mengikuti pendekatan ini bertambah setiap sessi kemasukan apabila mereka diberikan pilihan untuk mengikutinya.


Penyelidikan ke atas pekerja sosial yang telah dijalankan oleh Heycox & Bolzan (1990) ke atas pekerja-pekerja berbangsa Vietnam (yang tidak fasih berbahasa Inggeris). Mereka mendapati kebanyakan daripada pekerja sosial tersebut mudah mendapat kemahiran yang dipelajari dengan menggunakan pendekatan PBL ini.

Aktiviti 10

Mengenalpasti Masalah Kajian Tindakan

  1. Membuat kajian keperkustaan serta menganalisis
  2. Fokus kepada topik, persoalan dan membuat hipotesis
  3. Merancang aktiviti
  4. Mengumpul data
  5. Menganalisis data
  6. Bertindak
  7. Refleksi dan hasil
  8. Laporan

Aktiviti 8

Aktiviti 6 : Tugasan 4 (Mini Kajian Tindakan)

Thursday, December 3, 2009

Kekuatan pengajaran subjek berkenaan:-

Pengalaman/refleksi secara individu:-
  • Berdasarkan pengalaman menjadi pelajar, apa yang menarik tentang subjek ICT ialah ia merupakan satu subjek yang baru dan lebih banyak melibatkan kerja-kerja amali di mana pelajar dikehendaki pergi ke makmal komputer untuk subjek tersebut.
  • Pelajar-pelajar berpeluang membuat latihan sendiri menggunakan kemudahan komputer yang disediakan.
  • Aplikasi dan perisian yang pelbagai menarik minat pelajar untuk belajar dan mencetus perasaan ingin tahu dalam diri pelajar untuk mencuba sesuatu yang baru.

Pengalaman/refleksi secara berkumpulan:-
  • Penglibatan pelajar secara langsung melalui latihan secara praktikal di dalam kelas memberi pengalaman baru buat pelajar dan membantu mereka memahami apa yang ingin disampaikan oleh guru.
  • Selain itu, pendedahan seperti ini dapat membantu pelajar meneroka dan memperkembangkan lagi daya kreativiti mereka.
Penceritaan dan Permainan dalam proses P&P
  • Penceritaan dan Permainan sebagai kaedah dalam P&P membantu menarik minat pelajar kerana kaedah-kaedah ini memberi kelainan kepada kepelbagaian teknik mengajar yang digunakan oleh guru.
  • Gabungan kedua-dua kaedah ini membantu menarik minat dan perhatian pelajar semasa proses P&P.
  • Kaedah penceritaan -Pelajar perlu menumpukan perhatian terhadap cerita yang disampaikan oleh guru.
  • Kaedah permainan - Melibatkan penglibatan pelajar secara aktif.

Aktiviti 5

Wednesday, December 2, 2009

Tugasan 1 : Ulasan Buku dan  Tugasan 4 : Mini Kajian Tindakan

Individu : Mengapa guru(pelatih/novis/berpengalaman) perlu melakukan kajian tindakan?

Pada awal pengenalan kursus kajian tindakan ini, Dr. Siti telah menekankan tentang maksud Kajian Tindakan dan kepentingannya dalam dunia pendidikan terutamanya bagi seorang guru. Antara sebab mengapa seorang guru perlu membuat kajian tindakan ialah:-

  1. Mengenalpasti masalah yang dihadapi semasa proses P&P.
  2. Mengenalpasti kelemahan serta memperbaiki kaedah mengajar yang sedia bagi tujuan penambahbaikan.
  3. Meningkatkan mutu dan kualiti sistem pendidikan itu sendiri.
  4. Memartabatkan profesion keguruan sebagai profesion yang mulia dan mencabar.
  5. Memperkembangkan daya kreativiti guru dalam proses P&P.
  6. Menggalakkan konsep pendidikan sepanjang hayat disepadukan dalam diri para guru.
  7. Memastikan guru sentiasa bersedia dengan memperkembangkan ilmu yang sedia ada.
  8. Mempelbagaikan kaedah pengajaran dan kemahiran guru sebagai penambahbaikan dalam proses P&P.
  9. Meluaskan perspektif pengajaran yang bukan hanya tertumpu pada aspek kognitif semata-mata.
  10. Meningkatkan motivasi dalam diri para guru dan berani mencuba untuk melakukan perubahan baru berdasarkan keprihatinan guru terhadap pelajar-pelajarnya.
  11. Melahirkan guru yang prihatin dan bertanggungjawab dalam melahirkan modal insan yang berkualiti selaras dengan falsafah pendidikan negara.